SEJARAH MELAKA SECARA RINGKAS | Pena Minang - Blog Makanan di Melaka

SEJARAH <b>MELAKA</b> SECARA RINGKAS | Pena Minang - Blog Makanan di Melaka


SEJARAH <b>MELAKA</b> SECARA RINGKAS | Pena Minang

Posted: 31 Jul 2014 06:06 PM PDT

Oleh : Unit Kajian Sains Sosial PenaMinang.com

Pengenalan

Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan kesultanan Melaka oleh Parameswara seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang berketurunan Majapahit pada tahun antara 1400 masihi hingga 1403 Masihi. Ahli sejarah tidak dapat mengenal pasti tentang tarikh yang sebenar mengenai pembukaan negeri Melaka. Menurut Tome Pires iaitu penulis Portugis yang tinggal di Melaka pada tahun 1512 hingga 1515, beliau menceritakan bahawa negeri Melaka dibuka kira-kira 100 tahun sebelum Melaka ditawan oleh Portugis. 

Seorang  penulis Portugis lain De Barros memberi tahu bahawa tarikh Melaka dibuka kira-kira 250 tahun terlebih dahulu sebelum itu. Lebih mengelirukan, terdapat pula  pendapat seorang ahli sejarah lain iaitu Gasper Correa sebagai mana yang terdapat dalam bukunya "Lendes Da India". Bahawa Melaka telah wujud lebih kurang tujuh kurun lamanya sebelum ditawan oleh Portugis. 

Oleh kerana tidak ada tarikh pada keseluruhan  dalam sejarah melayu, maka tarikh tepat pembukaan Melaka tidak dapat diketahui. Sungguh pun pendapat yang diberikan oleh penulis Portugis mengenai pembukaan Melaka saling bercanggahan, tetapi penulis-penulis tersebut bersetuju bahawa Melaka dibuka oleh Parameswara atau lebih dikenali sebagai Raja Iskandar Syah selepas baginda memeluk islam. Melaka pada awalnya hanya sebuah perkampungan nelayan, namun telah berkembang pesat menjadi sebuah pusat perdagangan emtrepot dan Berjaya menarik ramai pedagang asing untuk berdagang di Melaka. 

Melaka juga merupakan  sebuah kerajaan yang telah menjadi pengasas kepada wujudnya kerajaan-kerajaan melayu yang lain seperti Kelantan, Terengganu, Johor dan sebagainya. Antara pedagang-pedagang luar yang telah dating untuk berdagang di Melaka pada zaman kegemilangannya adalah pedagang-pedagang dari Cina, India, Arab dan lain-lain. kerajaan Melayu Melaka telah mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-15 hinggalah abad ke-16. 

Kerajaan Melayu Melaka mencapai zaman kegemilangannya disebabkan  oleh beberapa faktor yang penting seperti pusat perdagangan dunia, pusat penyebaran agama islam, peranan orang laut, sistem pemerintahan yang teratur dan strategik, kedudukan geografi yang strategic sebagai pusat intelektual dan sebagainya.

Hubungan Diplomatik Dengan Cina.

 Antara kuasa-kuasa yang mempengaruhi Asia Tenggara pada abad ke-15 ialah negeri Cina. Kerajaan Ming yang diasaskan pada tahun 1368 telah muncul sebagai  satu kerajaan yang kuat menjelang abad ke-15. Kerajaan Cina akan melindungi negeri-negeri di Asia Tenggara dari diganggu sembarangan oleh kuasa lain dengan meminta kemaharajaannya diiktiraf oleh negeri-negeri di Asia Tenggara dengan penghantaran persembahan-persembahan atau ufti  yang berupa wang, alat-alat perhiasan dan pengiriman tentera, senjata serta makanan ke negerinya. 

Peluang ini digunakan oleh Parameswara dengan sebaiknya untuk mendapatkan kerjasama dan perlindungan dari Cina bagi menentang musuhnya terutama Siam dan Majapahit. Pada tahun 1403, utusan Cina telah dating ke Melaka untuk mendapatkan pengakuan dan penghormatan serta Parameswara pun dengan segera memberikan pengakuan dan pengiktirafan  ke atas kemaharajaan negeri Cina. 

Bagi mempereratkan lagi hubungan diplomatik, kedua-dua negeri ini saling menghantar utusan-utusan dan perwakilan rasmi Negara. Pada tahun 1405, wakil rasmi dari Melaka telah pergi ke Cina untuk menyampaikan utusan rasmi dari Parameswara kepada Maharaja Cina. Pada tahun berikutnya, Maharaja Cina kemudian menghantar wakil rasminya ke Melaka sambil membawa sebuah cop mohor, sepasang pakaian sutera dan paying kuning sebagai lambing pengiktirafan rasmi dari Maharaja Cina. 

Pada tahun 1409, laksmana Cheng Hoo yang beragama islam telah berkunjung ke Melaka dengan tujuan untuk menggerunkan Siam disamping memberi nasihat serta menolong Parameswara merancang dan menyusun strategi pertahanan negeri Melaka. Saudagar Cina telah mula berdagang di negeri Melaka. Mereka membawa barang-barang dagangan dari negeri Cina seperti kain sutera, teh, kain satin dan barang-barang perhiasan. 

Dua tahun kemudian, pada tahun 1411, Parameswara bersama-sama dengan kerabatnya dan pembesarnya (dianggarkan kira-kira seramai 540 orang) telah berangkat ke Peking lalu disambutnya dengan meriahnya oleh Maharaja Cina. Kunjungan ini telah menambahkan lagi kebesaran  serta kuasa Parameswara. Yang pada masa itu boleh dikatakan selamat dari serangan Siam. Inisiatif yang dilakukan oleh Parameswara dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan negeri Cina  telah membuktikan bahawa kebijaksanaan beliau dalam sistem pentadbiran. Apabila kedudukan beliau selamat di atas takhta, beliau pun telah mula menumpukan usahanya menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting.

Kedudukan Geografi Yang Strategik.

Antara faktor lain yang menjadikan Melaka maju dalam perkembangannya ialah kedudukannya dari segi ilmu alamnya. Kedudukan strategic ilmu alamnya di tengah-tengah semua gerakan perdagangan antara pedagang-pedagang di sebelah timur dan barat adalah satu faktor penting kea rah kemajuannya. Pelabuhan Melaka merupakan persimpangan jalan laut antara dua tamadun besar iaitu Cina dan India. Melaka juga terlindung dari tiupan angin monsun timur laut yang bertiup dalam bulan November hingga April dan angin monsun barat daya yang bertiup dalam bulan mei hingga ogos. 

Dengan bantuan angin monsun, kapal-kapal layar telah mengunjungi negeri Melaka semenjak 2000 tahun dahulu. Sementara pantai barat menerima kunjungan daripada India dan Gujerat, pantai timur pula dikunjungi oleh tongkang-tongkang perdagangan dari negeri Cina. Jalan perdagangan utama kapal-kapal perdagangan belayar melalui satu terusan laut yang sempit di mana bahagian yang dalam adalah lebih dekat dengan pantai Melaka dari pantai Sumatera. Menurut Tome Pires, saban tahun sekurang-kurangnya 100 kapal besar dan diantara 30 hingga 40 kapal-kapal kecil berlabuh di Melaka. Menurutnya lagi, pelabuhan Melaka dapat menampung sehingga 2000 kapal pelbagai saiz untuk sesuatu masa.

Melaka Sebagai Sebuah Pusat Penyebaran Agama Islam.

 Walaupun terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa agama islam telah tiba di alam Melayu sejak abad ke-11, berdasarkan rentetan-rentetan bukti yang didapati tetapi sehingga abad ke-13 perkembangannya tidaklah begitu meluas. Sebaliknya, perkembangan agama islam semakin pesat selepas Melaka berkembang menjadi sebuah negeri yang kuat dan pusat perdagangan yang maju. Islam berkembang di Melaka melalui dua cara iaitu secara lansung dan secara tidak lansung. Perkembangan islam di Melaka secara lansung adalah melalui perluasan daerahnya seperti negeri-negeri di semenanjung, kawasan-kawasan di Sumatera dan hubungan dagangnya dengan Jawa. 

Contohnya, penaklukan politik yang berlaku dengan hebatnya di zaman Sultan Mansur Syah di bawah pimpinan Bendahara Tun Perak telah membolehkan agama islam menembusi masuk ke wilayah-wilayah yang telah ditakluki oleh Melaka baik di Sumatera Timur mahupun di Tanah Melayu. Raja-raja dari wilayah-wilayah yang ditakluk itu mahu menunjukan taat setia dan sokongan mereka terhadap Melaka dengan memeluk agama islam seterusnya menyebarkan pula agama islam ini kepada rakyat mereka. Secara tidak lansung pula melalui pelabuhan Melaka yang didatangi oleh pedagang-pedagang islam yang sesetengahnya bersifat mubaligh menyampaikan ajaran islam ke kawasan-kawasan yang mereka singgah. 

Menurut Tome Pires, raja Melaka yang memeluk agama islam ialah Parameswara dan memakai gelaran Raja Iskandar Syah setelah berkahwin denganseorang puteri islam dari Pasai. Pengislaman raja Melaka pertama itu telah mendorong pula rakyat Melaka untuk memeluk agama islam. Semenjak itu, kegiatan-kegiatan mengislamkan penduduk Melaka pun berjalan dengan lancer disamping kedatangan ulama-ulama dan saudagar-saudagar islam dating berdagang ke Melaka seterusnya mengajarkan tentang islam kepada rakyat Melaka. 

Pada permulaan penerimaan islam, ajaran-ajaran islam seperti fardu ain dan fardu kifayah telah disebarkan melalui surau, balai, masjid dan melalui institusi-institusi guru tertentu seperti Maulana Yusuf dan Kadi Munawar. Tetapi penyebaran islam mencapai kemuncaknya apabila istana turut berperanan menyampaikan ajaran islam di Melaka. Istana bukan sahaja berfungsi sebagai pusat intelektual dan politik, tetapi juga sebagai pusat kebudayaan. 

Sultan bertindak kepada pelindung terhadap kegiatan tersebut dan sentiasa menunjukkan minat dengan terlibat sama dalam kegiatan yang bersifat intelektual. Contohnya, Sultan Mansur Syah belajar dengan Maulana Abu Bakar dan Sultan Mahmud berguru dengan Maulana Yusuf. Bukti lain yang menunjukkan minat dan dorongan pemerintah Melaka ialah apabila Sultan Mansur Syah telah menitahkan supaya menghantar kitab ad-durru "1 Manzun" untuk diterjemahkan oleh Makhdum Patakan dan kemudian baginda juga telah menghantar satu perutusan lain yang diketuai oleh Tun Bija Wangsa ke Pasai untuk bertanyakan tentang masalah yang bersifat untuk menguji tahap ketinggian pengajian ulama-ulama Pasai mengenai hakikat syurga dan neraka. 

Selain itu, Sultan Muzafar Syah telah menjadikan agama islam sebagai agama rasmi di Melaka semasa zaman pemerintahannya. Kedatangan islam ke Melaka telah menyebabkan wujudnya pembinaan masjid-masjid sebagai pusat pengajian islam disamping penggunaan tulisan jawi yang semakin meluas malah bahasa melayu turut berperanan menjadi bahasa linggua franka.

Peranan Orang Laut.

Orang laut atau Calates merupakan orang yang bergerak dari satu laut ke satu laut yang lain. menurut dari catatan Portugis, Calates ialah "puiple of the straits". Apabila Melaka ditakluki oleh Belanda mereka menggunakan panggilan Selatter dan panggilan ini juga digunakan oleh Inggeris. Oleh itu, Selatter atau Calates itu ialah panggilan kepada orang selat. 

Orang selat sebenarnya merupakan satu kumpulan manusia yang memiliki satu budaya yang dikenali sebagai budaya orang laut. Panggilan orang laut ialah panggilan orang melayu yang merujuk kepada satu corak budaya manusia dari satu kumpulan manusia melayu yang tinggal di pesisiran laut di dalam sampan atau perahu dan hidup secara nomadic atau berpindah randah. Dari kajian awal yang dibuat, didapati bahawa peranan kumpulan manusia yang dipanggil orang laut atau Calates amat penting sekali dalam membawa kegemilangan tersebut sehingga ada diantara mereka mendapat kedudukan yang tinggi dalam hiraki sosial dan kuasa kesultanan Melayu Melaka. 

Orang laut dapat dibahagikan kepada beberapa suku antaranya ialah orang laut suku bentan, orang laut suku mepar dari Lingga, orang laut suku bulang dari Pulau Bulang dan orang laut suku galang dari Pulau Galang. Walaupun orang laut terbahagi kepada beberapa suku antara suku yang paling berkuasa ialah suku bentan. Mengikut catatan Tome Pires, orang laut atau Calates yang menjadi pendayung dalam armada laut Sultan Melaka dan dibawa ke Melaka ialah dari gabenor Bentan. Peranan tersebut bukanlah satu peranan yang baru sebaik sahaja Melaka ditubuhkan tetapi peranan tersebut terjalin apabila telah wujud hubungan antara orang laut dengan raja-raja Melaka. 

Kedudukan orang laut dalam istana Melaka amat tinggi dalam hiraki sosial dan kuasa. Kedudukan tersebut kerana adanya kepercayaan dan kesetiaan yang padu dan kukuh antara seorang raja dan rakyatnya yang sudi membantu. Wa'adat sri tibuana dan demang lebar daun dalam sejarah melayu menggambarkan ketaatan dan kesetiaan yang resiprokal. 

Upacara pertabalan yang diadakan ke atas Parameswara memberikan kedaulatan kepadanya dan keturunnya selepas itu. Kedaulatan ini dipercayai oleh orang laut yang hanya dimiliki oleh keturunan Parameswara hingga kalah ditangan keturunnya yang terakhir di Johor pada tahun 1699. Kedaulatan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalinkan hubungan antara rakyat, orang laut kepada sultan mereka. 

Orang laut menjadi pendayung, hulu-balang, panglima dan bentara malah ke jawatan seperti bendahara, laksmana mahupun temenggung adalah kerana jalinan yang dikukuhkan oleh kedaulatan sultan dan raja itu. Antara peranan orang laut ialah menjadi tentera di laut, mengawal kapal dagangan, menjaga keselamatan Negara dan sebagainya. 

Terdapat juga peranan lain yang dilakukan oleh orang laut antaranya ialah menjadi pengangkut utusan dan surat-surat pemerintah luar negeri yang dilakukan orang suku mepar, menyediakan agar-agar atau sagu kepada raja atau sultan ialah orang suku kasu, trong, sugi dan moro, yang berkhidmat di dapur istana dan juga mengangkut air serta kayu api untuk ialah orang suku ladi dan yang menjaga anjing perburuan sultan ialah orang suku tambus.

Melaka Sebagai Pusat Perdagangan Dunia.

Melaka muncul sebagai pusat dagangan dunia adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah kedudukannya yang strategic serta adanya perairan yang dalam telah memudahkan kedatangan pedagang-pedagang asing. Melaka menjadi pusat "Perdagangan tiga jurusan" di antara negeri Cina, India dan Asia Tenggara. Hubungan perdagang ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu hubungan perdagang dengan bahagian timur khususnya dari Cina, bahagian barat dan hubungan perdagangan dengan pedagang dari kepulauan melayu iaitu dari Jawa, Kepulauan Maluku atau Sulawesi dan Kalimantan. 

Hubungan ini amat jelas apabila kerajaan Ming dari Cina mengubah dari dasar tutup pintu kepada dasar buka pintu. Dalam setahun dianggarkan lapan hingga 10 jong dari Cina singgah di Melaka. Antara barang yang dibawa dari Cina ialah the, kain sutera, tembikar, benang emas, kain satin, tembaga dan barang perhiasan. Seterusnya ialah hubungan perdagangan dengan pedagang-pedagang dari barat dan pedagang dari barat yang paling ramai ialah pedagang dari Gujerat diikuti pedagang dari Koromander, pelabuhan Benggal, Burma atau Pegu, Siam dan lain-lain. 

Saudagar dari India pula membawa kain benang dan kapas dari Kembayat, Pulikat dan Benggala. Selain daripada saudagar Cina dan India peniaga yang dating dari negeri jiran membawa bunga cengkih iaitu dari pulau-pulau Maluku, buah pala dari pulau Banda, kayu cendana dari pulau timur, lada hitam dan emas dari Sumatera dan bijih timah emas dan kapur barus dari Borneo. Pulau Jawa dan beberapa buah Bandar pelabuhan di Sumatera Pedir dan Pasai membekalkan Melaka dengan bahan makanan seperti beras. 

Dari Pegu disebelah utara pula membawa batu delima, sampan, bijih timah, bahan makanan dan kayu brazil. Dari kawasan pedalaman Melaka dibawa emas, bijih timah dan akar-akar kayu untuk dibuat ubat. Perubungan perdagangan dengan pelabuhan di Sumatera merupakan hubungan yang paling rapat. Malah, sebahagian besar kerajaan itu merupakan sebahagian besar takluk Melaka. Wilayah itu dijadikan pembekal barang dagangan untuk Melaka dan pasar bagi barangan yang diimport oleh Melaka. Pelabuhan yang utama dikuasai oleh Melaka termasuklah Inderagiri, Kampar, Siak, Rokan, Purim, Rupat dan Jambi. Inderagiri begitu penting bagi Melaka kerana Inderagiri merupakan pelabuhan pengeluar emas yang paling utama di wilayah Minangkabau. 

Selain itu, emas dan lada hitam juga dikeluarkan melalui pelabuhan Kampar dan Siak. Sebahagian besar makanan yang dibekalkan ke Melaka datangnya dari Siak. Melaka juga menggunakan sistem cukai mengikut kawasan iaitu enam peratus bagi kawasan India, Srilanka, Tanah Arab dan Siam. Lima peratus bagi Jepun dan Cina dan tiga peratus untuk pedagang tempatan. Melaka juga mengenakan cukai import kepada pedagang-pedagang yang dating berdagang di Melaka iaitu cukai rasmi antara lima hingga enam peratus dan cukai tidak rasmi. 

Manakala cukai yang dikenakan kepada pedagang asing yang ingin menetap di Melaka ialah tiga peratus. Peniagaan perdagangan dijalankan melalui dua cara iaitu sistem barter iaitu sistem tukar barang dan sistem mata wang logam. Sultan pertama yang mempunyai mata wang logam sendiri ialah Sultan Muzafar Syah. Transaksi jual beli di Melaka menggunakan ukuran timbang dalam tahil dan kati. Sistem timbang ini dikawal oleh seorang temenggung untuk memastikan sistem ini berjalan dengan lancar dan adil serta tiada unsur penipuan. Barangan yang boleh didapati di Melaka ialah seperti bijih timah, emas, rempah ratus dan hasil hutan.

Melaka Sebagai Bandar Pelabuhan.

Melaka terletak di tempat pertemuan semulajadi angin monsun dan dengan demikian dapat menjadi tempat persinggahan yang sangat dikehendaki oleh saudagar dari Cina dan India. Menurut Barbosa, Melaka merupakan sebuah pelabuhan yang paling kaya di dunia. Tambahan pula dengan jumlah pedagang yang melakukan kontrak dagangan borongan meliputi jumlah yang sangat besar.

Jumlah kapal dan grafik perdagangan adalah melimpah-limpah yang kesemuanya tidak dapat diperolehi di mana-mana pelabuhan di seluruh dunia. Menurut Varthema, jumlah kapal yang dating ke Melaka merupakan jumlah terbesar jika dibandingkan dengan jumlah kapal yang dating ke pelabuhan lain di dunia. 

Pandangan yang paling menarik adalah pandangan dari Tome Pires, yang mengatakan bahawa siapa sahaja yang menjadi tuan di Melaka maka tangannya terletak di leher Venise. Menurutnya lagi, tidak kurang dari 50 bangsa dan suku kaum yang berkunjung dan berdagang di Melaka di samping itu di pelabuhan Melaka juga dikatakan terdapat sebanyak 84 bahasa dipertuturkan dan setiap satu daripadanya adalah berbeza. 

Selain itu, pelabuhan di Melaka mempunyai kemudahan-kemudahan yang elok dan juga kerana keselamatan yang terjamin untuk setiap saudagar yang melawatinya. Contohnya kemudahan tempat tinggal dan makanan serta bekalan air yang mencukupi. 

Kemudahan pergudangan juga melindungi barang dagangan dari kebakaran, kecurian dan kecurian turut disediakan kepada pedagang. Keselamatan dan kebajikan pedagang turut dijaga ketika berlabuh oleh pegawai kerajaan Melaka seperti Syah Bandar. Wujud empat orang Syah Bandar yang mengawal keselamatan pedagang iaitu Syah Bandar yang menguruskan pedagang dari Gujerat, pedagang dari barat, pedagang dari timur dan mengawal pedagang dari kepulauan melayu.

Sistem Pemerintahan Yang Teratur Dan Strategik.

 Raja-raja di Melaka telah Berjaya mewujudkan hubungan diplomatik di antara negeri Melaka dengan kuasa-kuasa besar seperti Cina. Contohnya semasa zaman Parameswara baginda telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Cina bertujuan untuk mendapatkan perlindungan serta mengukuhkan kedudukan Melaka di perairan Melaka dari serangan Siam. 

Di Melaka terdapat empat orang pemerintah yang bijak dan cekap mentadbir sehingga membuka kepada kegemilangan Melaka antaranya ialah Parameswara atau raja Iskandar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Muzafar Syah dan Sultan Alauddin Ri'ayat Syah. Ramai ahli-ahli sejarah menganggap zaman pemerintah Muzafar Syah satu-satunya zaman yang penting dalam kerajaan Melayu Melaka yang berusia selama 110 tahun itu. 

Anggapan ini berdasarkan kepada beberapa faktor diantaranya ialah, baginda telah menjadikan agama islam sebagai agama rasmi negeri Melaka. Baginda Berjaya menamatkan permusuhan antara pembesar-pembesar melayu dengan golongan tamil islam, baginda Berjaya menolak beberapa percubaan Siam yang hendak menyerang Melaka, baginda Berjaya mengemukakan seorang bendahara Melaka yang berkalibal besar iaitu Tun Perak yang merupakan seorang tokoh teragung dan yang bertanggungjawab secara lansung terhadap pembentukan empayar Melaka dan baginda Berjaya memujuk Siam secara diplomasi supaya menghormati kemerdekaan dan kebebasan negeri Melaka. 

Pemerintah-pemerintah Melaka ini juga turut dibantu oleh sekumpulan pembesar yang memberikan taat setia mereka yang tinggi kepada pemerintah. Contohnya bendahara Tun Perak yang banyak menyumbang jasa dalam sistem pentadbiran negeri Melaka. Pentadbiran negeri Melaka bersifat sistematik di mana sultan berkuasa mutlak dan rakyat perlu memberikan taat setia dan tidak boleh menderhaka kepada sultan. Rakyat yang menderhaka kepada sultan akan mendapat tulah. 

Selain itu, kebijaksanaan sultan juga telah dapat menaikkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran Negara. Ini dapat dibuktikan apabila Sultan Alauddin Ri'ayat Syah pernah menyamarkan diri baginda sebagai rakyat biasa untuk mengekori lima orang pencuri. Akhirnya, baginda Berjaya menangkap tiga dari pada lima orang pencuri tersebut. Selain itu, terdapat juga pengenalan kepada sistem pembesar atau dikenali dengan sistem pembesar empat lipatan. 

Sistem empat lipatan ini diketuai oleh bendahara seterusnya diikuti oleh temenggung, laksmana syah Bandar dan penghulu bendahari. Bendahara bertindak sebagai ketua hakim dan sering mempengerusikan perbicaraan mahkamah. Beliau juga dikehendaki memilih istana permaisuri untuk sultan serta diamanahkan dengan tugas menabalkan sultan baru. 

Bendahara Tun Perak adalah satu-satunya bendahara Melaka yang memainkan kesemua tugas ini. Tun Perak bukan dipuji dengan kebolehannya dalam hal ehwal pentadbiran, tetapi juga kerana kebolehannya dalam bidang diplomasi. Bendahara Tun Perak juga dianggap orang yang bertanggungjawab secara lansung pertahanan dan perkembangan negeri Melaka. Selepas bendahara, pegawai Melaka yang penting ialah temenggung iaitu ketua agung polis. 

Tugas temenggung ialah menjaga keamanan dan memastikan undang-undang kerajaan dikuat kuasakan. Temenggung mempunyai berbagai tugas termasuk mengarahkan rondaan dibuat pada waktu malam. Temenggung juga mempunyai tugas menentukan yang sistem sukatan berat dan ukuran yang digunakan di pelabuhan dan pasar-pasar adalah tepat dan menjaga perdagangan agar tidak tergendala oleh perosak keamanan. 

Jawatan laksmana pula sama fungsinya dengan ketua turus angkatan laut tetapi laksmana dizaman kerajaan Melayu Melaka dahulu mempunyai peranan dan fungsi yang lebih berat dari seorang laksmana atau admiral pada masa ini. Laksmana dizaman kerajaan Melaka dahulu adalah seorang kesatria di darat dan juga di laut. Laksmana juga bertanggungjawab mempertahankan sungai dan pelabuhan daripada serangan perompak dan serangan orang luar. 

Contohnya laksmana Hang Tuah ialah kesatria di darat dan juga di laut. Beliau dikehendakki melindungi pelabuhan Melaka supaya keselamatan pemungut tol di selat Melaka terjamin. Syah Bandar pula ditugaskan menjaga kepentingan-kepentingan saudagar yang berdagang di Melaka. Beliau ditugaskan memungut cukai-cukai kepala dan cukai-cukai perdagangan di laut Melaka dan juga mengawal lalu lintas perkapalan di pelabuhan itu. 

Syah Bandar juga ditugaskan untuk mengadakan kemudahan rumah-rumah gudang yang diperlukan oleh saudagar-saudagar yang berniaga di Melaka serta menghalang dari berlakunya perbuatan rasuah di kalangan saudagar-saudagar dan pemerintah. Di bawah pengawal pegawai pentadbiran tersebut terdapat ramai lagi pegawai pemerintah yang turut membentuk dan mendukung struktur pentadbiran negeri Melaka. Yang paling terkenal diantara pegawai-pegawai terkecil ini ialah penghulu bendahari. 

Tugas penghulu bendahari ialah mengawal hamba-hamba sultan dan hasil dalam negeri. Walau bagai mana pun, pegawai-pegawai dan kakitangan yang kecil ini tidak dihuraikan dengan lebih lanjut mengenai tugas mereka dalam sistem pentadbiran kerajaan Melayu Melaka.

Melaka Sebagai Sebuah Empayar Besar Dan Kukuh.

Melaka merupakan sebuah kerajaan yang asalnya terdiri daripada sebuah perkampung nelayan. Semasa era pemerintahan Parameswara, Melaka hanya didiami kira-kira 2000 orang penduduk sahaja. Di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah, jajahan taluk Melaka mula diperluaskan dengan melanggar kawasan di bawah kekuasaan Siam. 

Pahang di bawah naungan Siam ditawan serta diletakkan di bawah seorang naip raja. Dengan tertawannya negeri Pahang, Tun Perak beroleh tiga keuntung yang mustahak iaitu jalan darat ke utara dimasukkan dalam kawalannya, emas negeri Pahang dimasukkan ke dalam perbendaharaan Melaka dan sebuah negeri penampan yang dapat diadakan diantara kawasan jajahan Siam dengan negeri Melaka. Tun Perak kemudian mengalihkan perhatiannya ke sebelah selatan pula. 

Johor Mumkalis, pulau-pulau Karimun, Bentan dan Muar ditawan. Kemudian kerana hendak memperluaskan kawalannya di selat Melaka, Tun Perak telah melancarkan serangan ke atas negeri di pinggir laut Sumatera. Kampar, Siak, Aru, rokan dan Inderagiri turut dilanggar. Semua negeri ini kecuali pasai telah ditakluki. 

Dengan demikian maka pengaruh Melaka berkembang luas ke kawasan yang jauh. Di era pemerintahan Sultan Alauddin Ri'ayat Syah di bawah pimpinan Tun Putih jajahan takluk Melaka diperluaskan lagi sehingga ke Manjung, Beruas dan Kelantan. Selepas Tun Putih meninggal dunia beliau digantikan oleh bendahara Tun Mutahir.

Di bawah pimpinan Tun Mutahir, Patani dan Kedah dimasukkan di bawah kesultanan Melayu Melaka. Hasil daripada penaklukan kerajaan-kerajaan ini telah membawa Melaka kepada beberapa buah perkembangan terutamanya dari segi perluasan kuasa memperkembangkan adat melayu, memperkembangkan ilmu undang-undang dan ilmu pentadbiran serta memperkembangkan lagi ilmu kesusasteraan. 

Perluasan kuasa ke atas kawasan-kawasan tersebut turut membawa kepada perkembangan ekonomi kepada Melaka hasil daripada kekayaan ekonomi yang diperoleh daripada negeri yang ditakluki contohnya pengeluaran emas dari Pahang dimasukkan ke dalam perbendaharaan Melaka.

Kesimpulan.

Faktor-faktor seperti hubungan diplomatik dengan Cina, kedudukan geografi yang strategik, Melaka sebagai pusat penyebaran agama islam, peranan orang laut, Melaka sebagai pusat dagangan dunia, Melaka sebagai Bandar pelabuhan, sebagai pusat intelektual, pemerintah daripada keturunan raja Melaka, sistem pentadbiran yang teratur dan strategic serta sebagai sebuah empayar yang besar dan kukuh telah membawa kepada kegemilangan Melaka pada kurun ke-15 dan awal abad ke-16. Kemunculan beberapa pemerintah yang bijak dan cekap contohnya seperti Parameswara, Sultan Mansur Syah, Sultan Muzafar Syah, Sultan Alauddin Ri'ayat Syah dan Tun Perak juga turut membawa kepada pengukuhan kerajaan Melayu Melaka pada kurun tersebut. Walau bagai mana pun, kegemilangan Melaka ini tidak dapat bertahan lama apabila Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 dizaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Kejatuhan Melaka juga disebabkan bendahara yang paling disegani iaitu Tun Perak meninggal dunia pada penghujung abad ke-15. Selain itu, Sultan Mahmud Syah telah mengenakan cukai yang tinggi kepada pedagang asing yang dating berdagang di Melaka dan menyebabkan pedagang-pedagang ini beralih ke pelabuhan yang lain. antara sebab luar negeri pula ialah serangan yang dilakukan oleh Alfonso D'Albuqurqur ke atas Melaka seterusnya menawan Melaka pada 24 Ogos 1511. Keruntuhan Melaka jelas dapat dilihat apabila Sultan Mahmud Syah berundur ke Johor. Namun begitu, pengunduran Sultan Mahmud ke Johor telah memberi peluang kepada baginda untuk mewujudkan kerajaan melayu Johor sekaligus menjadi pengasas kepada kerajaan ini.

Berkelahilah cara MELAYU, Menikam dengan pantun, Menyanggah dalam senyum, Marahnya dalam tertawa, Merendah bukan menyembah, Meninggi bukan melonjak.




@



SEJARAH <b>MELAKA</b> SECARA RINGKAS | Pena Minang - Blog Makanan di Melaka