Che Hasrah: Utusan Online - Selatan - Blog Makanan di Melaka

Che Hasrah: Utusan Online - Selatan - Blog Makanan di Melaka


Che Hasrah: Utusan Online - Selatan

Posted: 07 Jan 2014 03:59 AM PST

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
pengarang@utusan.com.my

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan Negeri Melaka, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah sebuah basikal kepada pemenang Karnival Sukan Tradisional di Alor Gajah, baru-baru ini.

ALOR GAJAH 6 Jan. - Zaman kanak-kanak sudah semestinya sukar dilupakan oleh setiap orang kerana pada zaman itu segalanya adalah indah belaka dan seringkali dihiasi dengan gelak tawa setiap kali bermain bersama rakan seusia.

Permainan yang wujud pada masa itu jauh bezanya jika dibandingkan dengan pada masa ini kerana corak permainan dicipta 'orang-orang dulu' bukan untuk hiburan semata-mata, malah diselitkan dengan pelbagai manfaat kepada pemainnya.

Yang jelas dalam permainan tradisional, selain menjadikan alam sebagai elemen utamanya, ia turut meningkatkan daya kreativiti, memupuk semangat berpasukan dan melatih kekuatan mental dan fizikal.

Namun kini, seiring dengan peredaran zaman dan kemajuan teknologi, permainan tradisional yang menjadi pengisi masa lapang kanak-kanak zaman dahulu kian dilupakan dan diganti permainan moden di alam maya sebagai medium interaksi.

Tiada lagi gelak tawa kanak-kanak di padang atau laman rumah berkejar-kejaran bersama rakan dan keringat tidak lagi membasahi baju mereka kerana masa lapang diisi dengan mengadap skrin televisyen, komputer riba atau yang paling digilai kanak-kanak sekarang adalah telefon pintar.

Bagi kanak-kanak dan remaja, permainan batu seremban, congkak, galah panjang dan teng teng sudah semestinya asing bagi mereka dan golongan dewasa pula pasti ada di antaranya yang telah melupai permainan seperti sepak raga bulatan, cap teh, raga ayam dan kelereng.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dengan kerjasama Majlis Belia Felda Melaka tampil membawa kesemua permainan tradisional yang pernah wujud dalam ketamadunan masyarakat Melayu dahulu dalam satu karnival yang berlangsung di Felda Tun Ghafar Hutan Percha di sini, baru-baru ini.

Pada karnival itu, sebanyak sembilan sukan permainan tradisional dipertandingkan iaitu kelereng, sepak raga bulatan, galah panjang, batu seremban, congkak, raga ayam, teng teng, cap teh dan tarik tali serta acara sampingan seperti memasak, mencanting batik dan sukaneka.

Usaha itu bertujuan mempromosi, mengembang dan membangunkan aktiviti sukan tradisional ke peringkat akar umbi dan mengembalikan kegemilangan permainan tradisional selain menerapkan unsur-unsur kekeluargaan.

Sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 700 peserta pelbagai peringkat umur, program itu dilihat berjaya mencapai objektifnya.

Menariknya pada karnival sehari itu, para peserta dikehendaki memakai kain sarung dan batik.

Permainan berusia ribuan tahun yang dikatakan berasal dari Rom dan pernah popular dalam kalangan kanak-kanak pelbagai kaum suatu masa dahulu iaitu kelereng turut dipertandingkan.

Kelereng atau dikenali sebagai 'petanque' di Perancis yang menggunakan guli, merupakan permainan rakyat yang sangat digemari.

Turut mencuri tumpuan ialah raga ayam yang permainannya memerlukan kekuatan fizikal kerana melibatkan pertempuran dua pemain.

Permainannya mirip sukan Sumo, tetapi bezanya adalah kedua-dua tangan peserta diikat ke belakang dan pergerakan pula dibataskan dengan hanya sebelah kaki iaitu dengan cara berjengket.

Karnival berkenaan juga menyediakan ruang pameran pelbagai agensi antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pemeriksaan kesihatan percuma selain gerai-gerai jualan produk makanan, minuman dan kraf tangan.




@



Che Hasrah: Utusan Online - Selatan - Blog Makanan di Melaka